PERMATA DUNIA.

Pegangan Sam, Yana & Intan




ATAS lesen kreatif, hujan idea yang mencurah-curah pasti akan menyuburkan benih seniman. Segala idea boleh diterjemah menjadi karya namun tidak semua karya itu bernyawa dan memberi impak. Fokus kepada wajah-wajah yang bersilih ganti di layar perak ketika ini, Shaheizy Sam, Yana Samsudin dan Intan Ladyana, mereka sedang muncul dengan sebuah filem berjudul Bini-Biniku Gangster (BBG).
Idea asal dan skrip filem ini diterajui Yana Shamsudin namun filem aksi komedi ini dianggap naskhah celup. Ada yang terang-terang melabelkan filem itu diinspirasikan daripada filem Korea, My Wife Is Gangster.
Sebagai salah seorang pelakon utama serta individu yang bertanggungjawab menghasilkan BBG, Yana sendiri langsung tidak menunjukkan rasa gusar jika skrip filem pertama nukilannya dipertikaikan ketulenannya.
"Memang tak sama, kalau sama pun mungkin hanya pada konsep dan tajuk tapi bukan pada pengisian dan jalan cerita. Sebenarnya, konsep filem itu telah saya siapkan masa zaman belajar di Universiti Teknologi Mara lagi.
"Rancangan asalnya, saya sendiri yang mahu mengarahkan skrip tersebut tapi rezeki saya lebih kepada lakonan. Apabila Ismail Bob Hashim dipilih oleh MIG untuk menerajui kerja pembikinannya dan saya sendiri sebagai pelakon utama, saya berasa besar hati," kata Yana yang bersekutu dengan Fadzi Zahari untuk menyiapkan skrip BBG.

SHAHEIZY SAM puas bermain visual yang diidamkan dalam filem sulungnya yang bakal diterbitkan hujung tahun nanti.


Menurut Yana, Fadzi lebih arif dalam pengisian filem bergenre aksi dan gengsterisme. Walaupun beralih tangan kepada Ismail Bob sebagai pengarah, sedikit penambahan dan olahan tidak memadamkan jalan cerita asal.
"Ini skrip pertama saya dan saya sangat puas hati dengan pendekatan yang dibawa oleh Ismail Bob terhadap skrip berkenaan," katanya yang tidak pernah meninggalkan lapangan penulisan skrip filem walaupun aktif berlakon.
Pernah mengarahkan filem Selamat Pagi Cinta yang ditulis oleh Pierre Andre, Yana gagal menterjemahkan impak. Sekarang, skrip pertamanya menemui penonton dan dengan bantuan Ismail Bob serta pelakon popular lain, Intan Ladyana dan paling utama, bintang pujaan ramai Shaheizy Sam ada di situ.
Kepada Yana sendiri, kalaupun bukan sekarang, sebagai penuntut filem, penerima trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 itu ada berpotensi untuk masuk lebih 'dalam' atau keluar dengan produk filem yang total 'sifat' dan 'akidah' seni filem itu sendiri.
"Hasrat ke arah itu ada tersimpan. Saya sendiri ada bank skrip dan tidak berhenti menulis skrip untuk dijadikan naskhah filem. Cuma, ketika ini rezeki saya lebih kepada tawaran lakonan. Saya percaya, waktunya akan tiba tapi belum tahu bila," kata Yana optimis.
Sam bikin filem
Terhambat oleh tawaran demi tawaran, untuk tahun 2011 sahaja Artis Paling Popular 2010, Sam sudah muncul dengan dua buah filem, Sekali Lagi dan Kongsi. Selepas BBG, Sam masih berbaki dua buah filem yang sudah ada tarikh tayangannya iaitu Aku Bukan Tomboy pada 17 November dan pertengahan Disember nanti, Songlap. Judul-judul lain pula termasuklah 8 Jam, Adnan Sempit 2 dan SAM pula dijangka masuk panggung pada tahun depan.
Kepadatan jadual memungkinkan Sam mempunyai had waktu untuk benar-benar fokus dan diberi ruang selesa untuk menghayati satu-satu watak dalam sesebuah filem lakonannya. Bertindak sehabis profesional, bertuahnya pengarah dan penerbit yang bekerja dengan Sam kerana aktor itu sudah sarat dengan kredibiliti.

DUA pelakon cantik, Yana dan Intan sebagai ketua gangster dalam Bini-Biniku Gangster mendapat bermacam reaksi. Pujian buat dua aktres ini kerana tidak kelihatan janggal dalam aksi mereka.


"Macam watak Harry dalam BBG, itu satu karakter yang secara total berbeza berbanding watak-watak yang pernah saya lakonkan. Saya tiada pengalaman jadi suami tapi saya fikir, kalaulah saya jadi suami orang mungkin saya juga akan berkelakuan seperti Harry," ujarnya ketawa.
Berikan apa sahaja karakter, termasuklah watak suami gedik-gedik manja dalam BBG itu namun secara peribadinya Sam tidak mengecewakan penonton.
"Tapi saya selalu berimaginasi tentang lain-lain perkara. Tapi itu semua berbalik kepada apa yang mahu divisualkan oleh pengarah terbabit, jadi kenalah ikut," ujar Sam tentang titik perubahannya mahu berehat seketika daripada tawaran lakonan sehingga tahun depan.
Merancang untuk menerbitkan dan mengarahkan filem sendiri sekitar pertengahan November nanti, Sam barangkali cuba meningkatkan lagi prestasi enjin lakonannya biarpun sudah dipacu laju.
"Mungkin industri seni perlukan lebih banyak pendekatan dan idea yang berbeza. Rasanya sinema kita sudah ada ramai pelakon yang bagus, jadi kalau pemain industri sendiri tidak produktif, tak seronoklah," kata Sam yang terpaksa mengenepi beberapa tawaran filem demi projek sulungnya itu.
Untuk filem yang bakal diterbitkan bersama syarikat produksi milik kakaknya, Zizie Ezzette itu, Sam sendiri akan bertindak sebagai penolong pengarah.
"Saya akan cuba bermain dengan pendekatan komik tetapi ia masih sebuah filem aksi," katanya yang percayakan kemampuan Ismail Bob Hashim untuk menerajui filem sulungnya nanti.
Intan buat rujukan
Bagi Intan Ladyana, dia sentiasa sedar bahawa mutu lakonannya sentiasa diperhatikan setiap kali muncul di layar perak. Secara sinis atau terbuka, dirinya pernah dilontarkan banyak kritikan. Kualiti lakonan antara yang banyak diusulkan.
Kata Intan, BBG menjadi filem pertama yang menuntut stamina dan kerja keras. Elemen itu barangkali satu kelainan yang menyokong portfolio Intan untuk mendaki fasa seterusnya selepas filem seram Flat 3A.

YANA, Sam dan Intan sudah sering diganding bersama sementelah mereka sebumbung bawah naungan syarikat produksi MIG milik David Teo.


"Ini filem aksi pertama saya. Sepanjang penggambaran, hanya sekali sahaja pengarah gunakan pelakon lagak ngeri, selebihnya saya sendiri yang melakonkan semua babak yang melibatkan aksi. Kelainan ketaranya, walaupun filem ini tentang gengster wanita tapi kami berlawan cara samseng lelaki," ceritanya sambil mengakui dia bukanlah aktres aksi cukup persediaan fizikal.
Jelas Intan lagi: "Lagipun kami tidak banyak masa untuk latihan, penat memang terasa bila banyak babak berlawan tapi saya beruntung sebab ada asas tinju. Saya juga kena rajin tengok filem aksi macam So Close lakonan Shu Qi dan Karen Mok, itu antara rujukan saya."
Biarpun sudah masuk minggu kedua tayangan, Intan besar hati jika filem pertama yang menampilkan gengster wanita itu dapat diterima tanpa prejudis oleh khalayak filem tempatan. Katanya, sebagai karyawan dan pelakon filem, mereka memang tidak akan lepas daripada kritikan.
"Filem yang menang anugerah pun dikritik, jadi semua itu terpulang kepada cita rasa penonton. Pada saya, kejayaan sesebuah filem juga bergantung kepada trend semasa, ada masanya filem hantu yang mendapat sambutan, kemudian beralih kepada genre aksi," matang bicara Intan menyentuh pegangannya terhadap kualiti sesebuah karya bernama filem.

sponser by

sponser by
online shopping center

TABUNG PERMATA

get your domain&hosting

Total Pageviews

Blog Archive

Popular Posts

Contact Us

Name

Email *

Message *