sihir atau mukjizat
3:38:00 PMTerdapat 8 perkara atau kejadian luar biasa yang menyalahi atau berlawanan dengan adat kebiasaan. Empat daripadanya berlaku adalah kerana kebenaran dan empat lagi berlaku kerana kepalsuan. Adalah penting bagi kita mengetahuinya supaya ia dapat menjauhi kita daripada kesesatan dan penyelewengan aqidah.
Bahagian bahagiannya adalah seperti berikut:
1. Mukjizat. Mukjizat adalah perkara luarbiasa yang dikurniakan Allah s.w.t kepada Rasul Rasulnya a'laihimussalaatu wassalam bagi mengkuatkan lagi kebenaran risalah yang dibawa mereka. Ia hanya berlaku kepada Rasul Rasul sahaja. Contoh mukjizat adalah seperti bulan terbelah dua yang berlaku kepada Nabi kita Muhammad s.a.w.
2. Irhash. Adalah perkara luarbiasa yang berlaku sebelum seseorang itu dilantik menjadi Rasullullah. Contoh irhash adalah seperti awan yang berarak melindungi Nabi s.a.w pada ketika dia s.a.w mengikuti bapa saudaranya berniaga.
3. Karomah. Adalah perkara luarbiasa yang berlaku kepada wali wali Allah s.w.t.
4. Ma'unah. Adalah perkara luarbiasa yang berlaku kepada orang awam (biasa) supaya bertambah rajin beribadat. Orang yang mendapat ma'unah ini makbul doanya.
Empat yang di atas adalah perkara luarbiasa yang berlaku kerana kebenaran.
5. Sihir. Adalah perkara luarbiasa yang berlaku kepada pengamal sihir. Sihir adalah perkara luarbiasa yang ada "upacara" sebelum memulakannya. Kita dilarang keras mengamalkan sihir dan mendatangi pengamalnya sehinggakan ulama menghukumkan barang siapa mendatangi pengamal sihir kerana ingin bantuannya, maka 40 hari amalannya ditolak dan barang siapa membenarkan apa yang dikatakannya adalah syirik, Na'uzubillah.
6. Istidraj. Adalah perkara luarbiasa yang berlaku kepada orang kafir dan orang jahil. Istidraj adalah cabang dari sihir. Istidraj ini amat bahaya kerana sipelaku menganggap apa yang dilakukannya adalah benar tanpa dia sedari itu adalah istidraj. Kerana kejahilannya hingga dia merasakan dia berbuat kebaikan padahal apa yang dilakukannya itu bukannya menambah pahala, bahkan menambah dosanya kepada Allah sehingga dia tiada alasan lagi di hadapan Allah rabbul jalil di akhirat nanti. Ya Allah..kami berlindung denganMU dari amalan yang membawa kepada istidraj...aameeeeen..
7. Sya'uzah. Adalah perkara luarbiasa yang berlaku kepada ahli silap mata.
8. Ihanah. Adalah perkara luarbiasa yang berlaku kepada pendusta seperti yang berlaku kepada Musailamah Alkazzab yang mengaku jadi nabi. Apabila Musailamah alkazzab mendengar Nabi s.a.w dapat mengubat mata sahabatnya yang buta dan dapat melihat kembali lebih baik dari sebelumnya, lalu dia, Musailamah alkazzab ubatkan mata sahabatnya yang buta sebelah, maka tiba tiba buta kedua mata sahabatnya itu. inilah contoh Ihanah.
Empat perkara yang kemudian ini adalah kejadian luarbiasa yang menyatakan kepalsuan dan membawa kepada terhijabnya hati dari menyaksikan kebenaran.
Semoga dengan nota ringkas dan tak seberapa ini dapat memberikan sedikit ilmu dan pengajaran kepada kita dalam mengenali dan membezakan kebenaran dan kepalsuan pada kejadian kejadian luarbiasa yang menakjubkan yang berlaku disekeliling kita dewasa ini. Semoga dengan nota ini juga kita semua dapat menjauhkan kepalsuan dari kehidupan seharian..aaameeeeen ya Rabbal a'lamiiinnn..
Wallahu A'lam.