padah laga ayam!!

TELUK INTAN - Kemaruk bermain laga ayam di dalam estet kelapa sawit mengundang padah apabila sembilan individu yang leka bermain dicekup dalam satu operasi di Jalan Estet, Kampung Bahagia, di sini, petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Mohd Zaki Harun berkata, operasi berjaya dilakukan hasil maklumat orang awam dan risikan anggotanya sebelum menyerbu lokasi kaki judi berkenaan.

Katanya, ketika serbuan dilakukan sekumpulan orang awam yang asyik bermain permainan laga ayam terkejut dengan kehadiran polis dan mereka cuba melarikan diri.

Namun mereka dikepung dan polis berjaya menahan sembilan lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun yang disyaki terlibat dengan aktiviti laga ayam di kawasan ini.

“Selain itu, kami turut merampas 13 ekor ayam yang dikatakan digunakan untuk aktiviti laga ayam,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Mohd Zaki berkata, kesemua suspek yang dipercayai orang luar daerah ini dibawa ke IPD Hilir Perak untuk siasatan lanjut.

Katanya, pihaknya juga akan menyiasat dalang di sebalik aktiviti itu yang dipercayai dijalankan oleh penduduk tempatan.

sumber

No comments:

Post a Comment