PERMATA DUNIA.

sejarah negeri pahang 3

Pusat Pentadbiran Negeri Secara Ringkas

                      
Inggeris telah meluaskan kuasanya ke Negeri Pahang Darul Makmur, Residen pertama iaitu J.P.Rodger telah dilantik dalam bulan Oktober 1888. Perkara utama yang diberikan perhatian oleh Inggeris ialah menentukan tempat letaknya pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur. Tiga tahun kemudian iaitu dalam tahun 1891 pusat pentadbiran ini dipindahkan dari Pekan ke Lipis. Rancangan ini hanya untuk buat sementara sahaja tetapi rancangan yang dikatakan sementara itu telah memakan masa lebih dari 64 tahun kerana pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur hanyalah dipindahkan ke Kuantan pada tahun 1955.
Cadangan untuk pemindahan pusat pentadbiran ini telah dibuat semenjak tahun 1901 lagi, tetapi keputusan muktamad untuk memindahkan pusat pentadbiran Negeri Pahang dari Kuala Lipis ke Kuantan diambil pada 2 Mac 1953; Bagi memilih tempat yang bersesuaian bagi pusat pentadbiran Negeri Pahang, pihak Kerajaan Negeri telah memusatkan pandangannya kepada dua kawasan iaitu Temerloh / Mentakab dan Kuantan. Tetapi disebabkan bentuk mukabumi Temerloh / Mentakab yang tidak rata dan memerlukan perbelanjaan yang besar untuk pembangunannya maka Kuantan telah diputuskan untuk dijadikan ibu negeri Pahang Darul Makmur.
Pusat pentadbiran Negeri Pahang Darul Makmur telah dipindahkan ke Kuantan pada hari Sabtu 27 Ogos 1955 dengan dirasmikan oleh KDYMM Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al Muadzam Shah Ibni Al Marhum Al Sultan Abdullah Al Mu'tasim Billah, DK., SIMP., DK., SIMP., DK(Brunei)., DK(Johor)., DK(Perak)., SPDK(Sabah)., GCMG. Manakala pada 28 Februari 1970, bangunan pentadbiran pusat berpindah ke Wisma Sri Pahang.
Pahang juga mempunyai ramai pahlawan dan pendekar yang berjuang menentang penjajah di waktu sebelum kemerdekaan. Antara yang terkenal ialah Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Mat Lela[perlu rujukan], Pendekar Hussin[perlu rujukan] dan Pawang Nong. Pahang juga merupakan negeri melayu sejati seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu.
                                                      DATUK BAHAMAN
                                                    TOK GAJAH
                                                   MAT KILAU

Sistem Perhubungan Awal Di Negeri Pahang

Pada zaman dahulu di Negeri Pahang Darul Makmur sungai-sungai seperti Sungai Pahang, Sungai Kuantan, Sungai Bebar, Sungai Rompin, Sungai Endau, Sungai Tembeling, Sungai Jelai, Sungai Semantan dan cawangan-cawangan sungai itu serta beberapa buah sungai kecil yang lain telah digunakan sebagai jalan perhubungan. Begitu juga perhubungan antara Negeri Pahang Darul Makmur dan negeri-negeri lain di sekitarnya. Orang yang hendak pergi ke Kelantan ikut Sungai Tanum anak Sungai Jelai atau ikut Sungai Sat dan Sungai Sepia, kedua-duanya anak Sungai Tembeling. Sungai Sepia itu boleh juga digunakan jika hendak pergi ke Negeri Terengganu. Perhubungan dengan Negeri Perak dihubungi oleh jalan-jalan yang lebih sukar iaitu ikut Sungai Bertam dan Sungai Lipis. Kedua-duanya adalah anak Sungai Jelai. Perhubungan dengan Negeri Selangor pula melalui Sungai Semantan dan cawangannya.
Jalan yang utama digunakan oleh orang pada zaman dahulu ialah jalan yang menghubungkan Negeri Pahang Darul Makmur dengan daerah-daerah di Hulu Muar dan Negeri Melaka. Jalan ini dari Negeri Pahang Darul Makmur ikut (mudik) Sungai Pahang; kemudian masuk ke sebuah anak Sungai Pahang yang bernama Sungai Bera, selepas itu ikut pula sebuah anak Sungai Bera bernama Sungai Serting. Pada suatu tempat di hulu Sungai Serting, naik ke darat sejauh tiga ratus ela, masuk pula Sungai Jempol, menghilir Sungai Jempol dan masuk ke Sungai Muar. Dari Muar bolehlah pergi ke Melaka dan tempat-tempat lain di barat Semenanjung Malaysia. Jalan inilah yang telah diikuti oleh Sultan Mahmud Shah Melaka dan putera baginda Sultan Ahmad setelah ia dikalahkan oleh orang-orang Portugis di Pagoh dan Bentayan (Kuala Muar) pada akhir tahun 1511. Jalan ini juga yang digunakan oleh Sultan Ali (putera Sultan Husain Shah Singapura) dari Kampung Umbai, Melaka yang pergi berjumpa Bendahara Wan Ahmad di Pahang (Pekan) pada tahun 1863.
Manuel Godinho de Erédia, seorang pengarang dan pegawai Portugis di Melaka (tahun 1613) menyatakan: "Dari Melaka jalan menempuh Penarikan itu boleh sampai ke Pahang (dan sebaliknya), hanya enam hari perjalanan".
Perahu jalak telah digunakan bukan sahaja membawa kargo dan barang-barang tetapi juga untuk membawa penumpang. Jalak boleh memuatkan dua belas penumpang dan lebih kurang 15 tan kargo. Dari Kuantan ke Kuala Pahang sewa yang dikenakan untuk satu perjalanan ialah $25.00. Syarikat Lombong Bijih Timah Sungai Lembing (PCCL) telah memulakan perkhidmatan harian antara bandar Kuantan dan Pasir Kemudi. Dari Pasir Kemudi penumpang dan kargo dibawa dengan keretapi ke Sungai Lembing.
Sebelum siap jalanraya dari Jerantut ke Kuantan, pegawai di Ulu Pahang yang hendak ke Kuantan akan menggunakan perahu atau rakit menghilir Sungai Pahang atau untuk pergi ke Pekan.
Setelah beberapa tahun kerajaan Inggeris mentadbir Pahang, usaha membina jalanraya pun dimulakan. Pada penghujung tahun 1910 jalan sepanjang 18 batu dari Kuantan menuju Ulu Pahang siap dibuka kepada orang ramai. Feri mula dibuka dan digunakan oleh orang ramai pada 5 September 1910 di Kuantan. Dalam tahun 1918 jalan raya Jerantut-Kuantan dapat dihubung terus ke Kuala Lipis. Hujung tahun 1933, jalan raya dari Pekan ke Kuantan dibuka dengan rasminya. Kemudahan perhubungan negeri ini terus maju dengan banyaknya pembinaan jalan raya, jambatan dan lapangan terbang serta pelabuhan. Kesemuanya ini dapat memendek dan memudahkan perjalanan serta perhubungan antara satu tempat dengan satu tempat di Negeri Pahang Darul Makmur di Malaysia dan negara-negara jiran seperti Singapura di sebelah selatan dan Thailand di sebelah utara.

sponser by

sponser by
online shopping center

TABUNG PERMATA

get your domain&hosting

Total Pageviews

Blog Archive

Popular Posts

Contact Us

Name

Email *

Message *